global

Kematian protes Iraq meningkat 93 orang

Oleh AFP

BAGHDAD: Kerajaan Iraq menamatkan perintah berkurung waktu siang di Baghdad, tetapi laluan ke dataran utama bandar itu masih ditutup susulan kebimbangan berlaku rusuhan lanjut.

Angka kematian akibat protes besar-besaran di Baghdad dan bandar sekitar selatan Iraq meningkat kepada 93 orang dalam pada kekacauan masuk hari kelima, kata suruhanjaya hak asasi manusia Parlimen.

Lebih daripada 4,000 orang juga dilaporkan cedera sejak bantahan terhadap kadar pengangguran tinggi, perkhidmatan awam buruk dan rasuah berleluasa tercetus pada Selasa lalu, kata suruhanjaya itu.

Seramai 540 penunjuk perasaan ditahan dan hampir 200 orang masih berada dalam tahanan, katanya.

Perdana Menteri Adel Abdel Mahdi mengarahkan tempoh berkurung dihentikan mulai jam 5 pagi (waktu tempatan) tetapi sekatan Internet masih dikuatkuasakan.

Orang ramai mula keluar membeli sayur dan bahan mentah lain yang melihat peningkatan harga dua kali ganda sejak protes bermula.

Polis antirusuhan bagaimanapun masih menghalang lalu lintas ke Dataran Tahrir dan tempat perhimpunan lain dalam pada pihak berkuasa menunggu sama ada penunjuk perasaan keluar lagi untuk membuat bantahan.

Disiarkan pada: October 5, 2019 @ 5:03pm
d