global

Daish bersesak di penjara

Oleh Agensi

LONDON: Ribuan tahanan, terutama mereka yang didakwa anggota Daish atau Negara Islam (IS) ditahan dalam penjara Syria yang sangat sesak, termasuk remaja semuda 12 tahun, sesetengahnya ditahan sejak beberapa tahun lalu.

Tahanan terbabit berpakaian banduan berwarna jingga dilihat ditempatkan dalam kurungan yang sesak, tidur berhimpit di atas lantai beralaskan tikar atau kain nipis di penjara di utara Syria itu.

Daily Mail melaporkan, penjara terbabit mempunyai 5,000 banduan, ramai rakyat asing termasuk dari Britain yang kini menuntut untuk pulang ke negara asal selepas Daish ditewaskan awal tahun ini.

Menurut laporan The Times yang melawat penjara berkenaan, tahanan tidak diasingkan bermakna budak lelaki berusia semuda 12 tahun ditahan bersama tahanan radikal dewasa.

Penjara itu dikendalikan Tentera Demokratik Syria sokongan Amerika Syarikat.

Puluhan ribu anggota Daish dan ahli keluarga mereka ditahan di banyak pusat tahanan di Syria dan Iraq.

Menurut The Times, seorang tahanan di penjara Syria itu, Aseel Muthana, berasal dari Cardiff, Britain, ke Syria lima tahun lalu, ketika berusia 17 tahun, selepas abangnya, Nasser dan seorang rakan mereka menyertai Daish.

Keluarganya menyangka dia meninggal dunia namun didapati masih hidup di pusat tahanan itu.

“Saya sertai Daish sebelum Khalifah Abu Bakr Al-Baghdadi menjadi ketua, sebelum pemenggalan kepala dan membakar tahanan.

“Kami terpengaruh dengan propaganda Daish membantu orang susah, membantu rakyat Syria,” katanya.

Disiarkan pada: October 7, 2019 @ 10:23am
d