global

Tak takut peluru

Oleh Agensi

BAGHDAD: Tentera Iraq mengaku menggunakan ‘kekerasan melampau’ terhadap penunjuk perasaan, terutama melepaskan tembakan peluru hidup menyebabkan lebih 110 terbunuh sehingga kini, termasuk 15 korban terbaru semalam.

“Kekerasan melampau di luar peraturan digunakan dan kami sudah meletakkan tanggungjawab tindakan salah itu kepada pegawai pemerintah yang berkenaan,” kata kenyataan tentera Iraq.

AFP melaporkan, ia adalah kali pertama sejak bantahan bermula minggu lalu, tentera Iraq mengakui tindakan tidak wajar dengan penunjuk perasaan mendakwa mereka ditembak dengan peluru hidup, termasuk oleh penembak hendap.

Semalam, ratusan penunjuk perasaan berkumpul di Sadr City dan dalam rakaman video yang disebarkan di media sosial, penunjuk perasaan kelihatan berlari di jalan raya dipenuhi tayar terbakar sambil menundukkan badan berserta bunyi tembakan.

Dalam kenyataan itu, tentera memberitahu Perdana Menteri Adel Abdel Mahdi mengarahkan semua unit tentera berundur dari Sadr City dan diganti dengan polis.

Rakyat memulakan tunjuk perasaan di Baghdad minggu lalu, membantah gejala rasuah dalam kalangan pemimpin serta kenaikan kos sara hidup serta kerajaan gagal menangani kemiskinan. Bantahan kemudian merebak ke bandar utama seluruh Iraq.

Reuters melaporkan, pihak berkuasa melepaskan tembakan peluru hidup sejak hari pertama bantahan dan selain mereka yang terbunuh, 6,000 lagi cedera.

Kerajaan bersetuju menambah subsidi perumahan untuk golongan berpendapatan rendah, elaun kepada penganggur serta latihan dan pinjaman mudah kepada belia.

Disiarkan pada: October 8, 2019 @ 7:15am
d