global

Bau durian punca pesawat berpatah balik

Oleh Agensi

VANCOUVER: Juruterbang sebuah pesawat penerbangan Kanada membuat panggilan kecemasan dan berpatah balik kerana tidak tahan dengan bau durian yang memenuhi ruang kabin.

Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kanada dalam satu laporan memberitahu, kejadian itu berlaku pada 17 September lalu ketika pesawat Air Canada dalam penerbangan dari Vancouver ke Montreal.

Bagaimanapun, pesawat yang membawa 245 penumpang dan lapan kru itu terpaksa berpatah balik selepas bau durian yang terlalu kuat memenuhi ruang kabin.

Kerana bau yang terlalu kuat, juruterbang terpaksa memakai topeng oksigen dan membuat panggilan “Pan Pan” iaitu situasi kecemasan kedua tertinggi selepas “Mayday”.

Panggilan “Pan Pan” dibuat untuk situasi yang dianggap serius tetapi tidak mengancam nyawa.

Menurut laporan itu, bau berkenaan berpunca daripada buah durian yang dibawa di dalam pesawat.

Disiarkan pada: October 8, 2019 @ 3:10pm
d