global

China musnah kubur Uighur

Oleh AFP

SHAYAR, CHINA: China memusnahkan perkuburan etnik Uighur, terutama tokoh terkenal mereka menjadikannya taman atau tempat letak kereta, malah kubur yang tulangnya berselerakan dipercayai bagi melenyapkan identiti etnik itu.

Berdasarkan siasatan AFP dan imej satelit Earthrise Alliance, puluhan perkuburan dimusnahkan di wilayah Xinjiang sejak dua tahun lalu.

Sebahagian kubur itu diratakan tanpa rasa hormat seperti di daerah Shayar dengan tulang manusia berselerakan di tiga lokasi. Di kawasan lain, kubur dipecahkan menjadi timbunan batu-bata.

Pihak berkuasa China menyatakan tindakan meratakan perkuburan lama itu bagi memberi laluan kepada projek baru namun menurut etnik Uighur di luar negara, ia bertujuan mengawal setiap aspek kehidupan etnik Islam itu.

Berdasarkan imej satelit yang dianalisis AFP dan Earthrise Alliance, sejak 2014 kerajaan China menggali dan meratakan sekurang-kurangnya 45 kubur Uighur, termasuk 30 dalam tempoh dua tahun lalu.

Malah, monumen dan kubur tokoh Uighur juga dibongkar. Kubur penyair terkenal etnik itu Lutpulla Mutellip di Aksu ditukar menjadi taman permainan dengan patung panda, alat permainan kanak-kanak dan tasik.

Kubur di kawasan itu dipindahkan ke kawasan baru di gurun dan tidak diketahui apa terjadi kepada mayat Mutellip.

Wakil AFP yang mengunjungi Xinjiang September lalu, mendapati 13 perkuburan dimusnahkan di empat bandar dengan tulang berselerakan di tiga lokasi di Shayar.

Pegawai pihak berkuasa tempatan menafikan ia adalah tulang manusia, namun tujuh pakar forensik yang meneliti gambar tulang berkenaan mengesahkan ia adalah tulang paha, kaki, tangan dan siku manusia.

“Ia sebahagian daripada kempen China menghapuskan semua bukti kewujudan kami, mahu menjadikan kami sama seperti etnik Han China,” kata Salih Hudayar yang kubur moyangnya dimusnahkan.

Kira-kira sejuta etnik Islam Uighur dimasukkan ke kem tahanan yang didakwa China sebagai pusat pendidikan semula di Xinjiang dengan alasan memerangi pelampau agama.

Disiarkan pada: October 10, 2019 @ 7:19am
d