global

Buang aplikasi serang hendap polis

Oleh Reuters

SAN FRANCISCO: Apple Inc membuang aplikasi yang digunakan penunjuk perasaan di Hong Kong untuk menjejak pergerakan polis kerana melanggar peraturan selepas digunakan untuk menyerang hendap anggota polis.

Dalam satu kenyataan, Apple berkata, ia memulakan siasatan segera selepas ‘ramai pelanggan prihatin di Hong Kong’ menghubungi syarikat itu mengenai aplikasi berkenaan, yang didapati membahayakan penguat kuasa undang-undang dan penduduk.

“Aplikasi itu memaparkan lokasi polis dan kami mengesahkan dengan Biro Jenayah Keselamatan Siber dan Teknologi Hong Kong bahawa ia digunakan untuk menyasarkan dan menyerang hendap polis, mengancam keselamatan awam selain penjenayah menggunakannya untuk mencari mangsa di kawasan penduduk yang diketahui tiada kawalan polis,” katanya.

Syarikat teknologi gergasi Amerika Syarikat (AS) itu sebelum ini diselar China kerana aplikasi berkenaan yang boleh diperoleh di App Store dengan akhbar rasmi Parti Komunis China menyelarnya sebagai ‘beracun’ selain menuduh Apple berkomplot membantu penunjuk perasaan Hong Kong.

Apple baru meluluskan aplikasi HKmap.live itu minggu lalu, yang menggunakan kaedah ‘crowdsource’ iaitu kegiatan pengguna berkelompok untuk mendapatkan lokasi polis dan penunjuk perasaan.

Apple turut membuang BackupHK, aplikasi berasingan yang bertindak sebagai cermin aplikasi induk HKlive.map.

Sementara itu, pengguna Twitter dipercayai pembangun aplikasi HKlive.map tidak bersetuju dengan keputusan Apple, selain berkata, tiada bukti menyokong dakwaan polis Hong Kong bahawa ia digunakan dalam serang hendap.

Katanya, aplikasi itu menghimpunkan bahan dari rangkaian sosial media, dan moderator membuang bahan yang mencadangkan aktiviti jenayah, selain menghalang cubaan berulang untuk memuat naik kandungan seperti itu di dalamnya.

“Majoriti ulasan pengguna kami di App Store mencadangkan HKmap memperbaiki keselamatan awam, bukan sebaliknya,” katanya.

Disiarkan pada: October 11, 2019 @ 6:59am
d