global

Lebih 100 militan terbunuh

Oleh Reuters

ANKARA: Turki mendakwa lebih 100 militan terbunuh pada hari pertama serangannya dalam operasi S terhadap kedudukan kumpulan bersenjata Kurdish di utara Syria, semalam.

Menurut Reuters, Presiden Tayyip Erdogan berkata, serangan masih diteruskan membabitkan semua unit ketenteraan.

“Seramai 109 pengganas terbunuh setakat ini,” kata Erdogan di sini, semalam.

Turki memulakan serangan awal pagi semalam (waktu Malaysia) dengan serangan udara dan bedilan artileri menyasar kedudukan Kurdish di sepanjang sempadannya dengan Syria.

Tentera darat berserta kenderaan perisai dan kereta kebal serta puluhan ribu askar upahan dari kumpulan bersenjata Syria yang dibiayai Turki memulakan serangan darat pada sebelah petang.

Kementerian Pertahanan Turki menyatakan anggota komando berjaya menyusup masuk jauh ke dalam wilayah Syria di timur Sungai Furat dalam serangan yang dibantah banyak negara, termasuk NATO yang dianggotai Turki.

Menurut Kementerian Pertahanan Turki, serangan udara dan bedilan artileri mengenai 181 sasaran Kurdish.

Tentera Turki memasuki Syria melalui Tel Abyad dan Ras al Ain serta Akcakale.

Cabang kumpulan bersenjata Kurdish yang sebelum ini menjadi sekutu Amerika Syarikat di Syria, Tentera Demokratik Syria (SDF) berkata, serangan udara Turki menyebabkan lima orang awam dan tiga anggotanya terbunuh.

Disiarkan pada: October 11, 2019 @ 7:07am
d