global

Mati jamah kek ikan panas

Oleh Agensi

LONDON: Seorang lelaki mati akibat sesak nafas selepas memakan kek ikan panas yang menyebabkan tekaknya melecur dan membengkak, lapor satu inkues bagi menyiasat kematian mangsa.

Mail Online melaporkan, Darren Hickey, 51, baru pulih dari serangan strok yang menyebabkan dia sukar berjalan dan bercakap selama tujuh tahun.

Pada April lalu, ketika dia mahu keluar dari Ridgmont House, dewan perkahwinan yang diuruskannya di Chorley, Lancashire, seorang cef meminta dia mencuba kek ikan yang baru dimasak.

Kerana kek ikan itu terlalu panas ia menyebabkan tekak Hickey melecur dan tidak lama selepas itu kotak suaranya membengkak hingga menyebabkan dia sukar bernafas.

Hickey dibawa ke hospital tetapi dia hanya diberi paracetamol dan diminta datang semula sekiranya keadaannya bertambah teruk.

Dia kemudian meninggal dunia sehari selepas itu di hospital ketika datang semula untuk rawatan.

Seorang pakar patologi, Dr Patrick Waugh yang menjalankan bedah siasat terhadap mayat Hickey memberitahu Mahkamah Bolton Corner, kes seperti itu sangat jarang berlaku.

“Dia mengalami kesakitan di tekak akibat makan makanan panas. Kemudian tekaknya membengkak menyebabkan dia sukar bernafas.

“Biasanya keadaan ini ditemui pada mangsa yang terbabit dalam kebakaran di bangunan yang menyedut asap atau wap panas ketika kemalangan industri yang membakar saluran udara,” katanya.

Disiarkan pada: October 12, 2019 @ 8:04am
d