global

7 juta penduduk Jepun perlu pindah

Oleh Agensi

TOKYO: Lebih tujuh juta penduduk diarah berpindah ketika Taufan Hagibis yang membawa hujan terlampau lebat dan angin kencang melanda Jepun semalam.

Agensi Meteorologi Jepun mengeluarkan amaran tahap tertinggi di 12 rantau termasuk Tokyo berikutan hujan lebat mencapai 30 inci hanya berlaku sekali dalam puluhan tahun.

Pengarah Pusat Penyelidikan Sungai Jepun, Nobuyuki Tsuchiya dalam satu kenyataan berkata, penduduk di Tokyo berdepan risiko tinggi berikutan bandaraya itu di bawah paras laut.

“Ribut bertambah teruk sekiranya taufan melanda Tokyo ketika air laut pasang,” katanya.

NHK melaporkan beberapa orang hilang di sebuah bandar berhampiran Tokyo selepas tanah runtuh memusnahkan dua kediaman.

Sejurus Taufan Hagibis melanda daratan, gempa bumi 5.7 magnitud yang berpusat dalam laut di luar persisiran pantai Chiba menggegarkan negara itu.

Dua maut akibat taufan itu dan lebih 60 orang dilaporkan cedera.

Menurut NHK, Taufan Hagibis turut menyebabkan lebih 370,000 kediaman terputus bekalan elektrik.

Disiarkan pada: October 13, 2019 @ 12:26am
d