global

Ketua polis letak jawatan

Oleh AFP

MANILA: Ketua Polis Filipina yang mengetuai perang dadah negara itu meletak jawatan dalam pada dia diuar-uarkan pernah melindungi anggotanya yang menjual rampasan narkotik.

Walaupun kejadian itu membabitkan tempoh sebelum Oscar Albayalde dilantik menjadi ketua polis negara itu, ia mencetuskan kritikan baru terhadap kempen antidadah Presiden Rodrigo Duterte.

Perang dadah Duterte yang dikecam antarabangsa itu turut membabitkan pembunuhan ribuan orang didakwa pengedar atau penagih dadah oleh polis sejak pertengahan 2016. Bagaimanapun, pengkritik mendakwa golongan kaya dan berpengaruh rata-rata tidak ‘disentuh’ dalam perang dadah itu.

Peletakan jawatan Albayalde berlaku hanya beberapa hari selepas dua bekas polis mengaitkan pembabitannya dalam satu serbuan pada 2013 apabila anggota di wilayah berhampiran Manila didakwa merampas dan menjual sejumlah besar methamphetamine.

Seorang bekas anggota polis menuduh Albayalde campur tangan untuk melindungi anggota terbabit daripada tindakan disiplin, manakala seorang lagi mendakwa dia menerima wang hasil jualan dadah berkenaan.

Tuduhan jenayah terhadap anggota yang didakwa terbabit dalam kejadian itu digugurkan pada 2017. Bagaimanapun, pendakwa sudah membuka semula kes itu manakala pihak terbabit dipanggil untuk disoal.

Albayalde yang ketika itu komander wilayah berkenaan menafikan perkara berkenaan, sebaliknya mendakwa ia sekadar usaha meraih publisiti bagi pihak yang mahukan jawatannya.

Dia sepatutnya bersara pada 8 November ini selepas memegang jawatan sebagai ketua polis negara itu sejak April 2018.

Disiarkan pada: October 14, 2019 @ 7:39pm
d