global

Maut diangkat guna helikopter

Oleh Agensi

TOKYO: Seorang wanita berusia 70-an antara yang terjatuh ketika diangkat helikopter penyelamat serta lima kelasi kapal kargo antara mangsa yang terbunuh akibat Taufan Hagibis yang melanda Jepun kelmarin, taufan terburuk melanda negara itu dalam tempoh sedekad.

Menurut laporan media tempatan, wanita itu terjatuh dari ketinggian 40 meter ketika diangkat helikopter penyelamat di bandar raya Iwaki, wilayah Fukushima.

Menurut Jabatan Bomba Jepun, siasatan mendapati wanita itu tidak diikat dengan sempurna sebelum diangkat menyebabkan dia terjatuh ke tanah.

Ketika sidang media di Tokyo semalam, pegawai jabatan itu memohon maaf sambil menunduk lama mengikut adat Jepun mengakui kesilapan mereka.

Taufan Hagibis melanda 36 daripada 47 wilayah Jepun, membawa angin kencang dan hujan lebat itu menyebabkan sekurang-kurangnya 56 terbunuh dan puluhan lagi masih hilang.

Sebuah kapal kargo didaftarkan di Panama karam di persisiran pantai Kawasaki di selatan Tokyo, menyebabkan tujuh daripada 12 anak kapal terbunuh.

Menurut laporan akhbar Yomiuri, anak kapal berkenaan adalah warga negara Myanmar, China dan Vietnam.

Semalam, Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, memberitahu mesyuarat kecemasan bencana ramai lagi yang dilaporkan hilang masih belum ditemui.

Hagibis membawa angin selaju 216 kilometer sejam namun hujan lebat menyebabkan kemusnahan besar.

Sebanyak 142 sungai, terutama di timur dan utara Jepun melimpah, menyebabkan tebing runtuh dan banjir besar.

Reuters melaporkan, Ketua Setiausaha Kabinet Yoshihide Suga berkata, lebih 110,000 tentera, polis dan pengawal pantai serta lebih 100 helikopter dalam operasi mencari dan menyelamat bagi mengeluarkan penduduk di kawasan yang teruk dilanda banjir.

Larangan penerbangan di Lapangan Terbang Narita dan Haneda, Toyko, bagaimanapun sudah ditarik balik namun 800 penerbangan dibatalkan atau ditunda sejak sebelum taufan berkenaan melanda.

Disiarkan pada: October 15, 2019 @ 7:37am
d