global

'Jika saya tak panggil polis tentu dia masih hidup'

Oleh Agensi

FORT WORTH, TEXAS: Seorang lelaki melahirkan rasa kesal menghubungi polis selepas melihat pintu rumah jirannya di sini, terbuka kerana tindakannya itu menyebabkan jiran wanitanya maut ditembak polis semalam,

“Jika saya tidak menghubungi polis, dia akan masih hidup. Saya marah, kecewa dan berasa ia salah saya,” kata James Smith, 62, kepada media tempatan, Star-Telegram.

Menurutnya, dia menghubungi talian am polis, bukannya talian kecemasan atas dasar prihatin dengan jiran.

“Tiada keganasan rumah tangga, tiada pertengkaran atau apa saja yang boleh dibimbangkan sehingga perlu mengeluarkan pistol,” katanya.

Menurut Daily Mail, dalam kejadian kira-kira jam 2. 25 pagi itu (waktu tempatan), dua polis pergi rumah dihuni Atatiana Koquice Jefferson, 28, bersama seorang anak saudaranya dan seorang lagi wanita selepas dihubungi Smith.

Seorang anggota polis kulit putih yang memeriksa rumah itu dari luar menggunakan lampu suluh tidak memperkenalkan diri sebagai polis ketika memasuki kawasan rumah.

Berdasarkan rakaman kamera badan polis itu, dia berjalan memeriksa sekitar rumah dan ketika menyuluh satu tingkap yang gelap, polis itu mengeluarkan pistol dan menjerit, ‘angkat tangan! Tunjukkan tangan kamu!’ sebelum melepaskan tembakan.

Siasatan kemudian mendapati wanita kulit hitam itu sedang bermain permainan video dengan anak saudaranya berusia lapan tahun apabila terdengar bunyi bising di luar.

Menurut peguam keluarga itu, S Lee Merritt, wanita itu pergi ke tingkap untuk memeriksa sebelum ditembak mati oleh polis yang tidak memperkenalkan dirinya.

Anggota polis itu kini diarah bercuti sehingga siasatan kes berkenaan selesai.

Disiarkan pada: October 15, 2019 @ 8:18am
d