global

Mati terpelanting dari buaian

Oleh AFP

SAINT-ÉTIENNE: Seorang wanita maut manakala seorang lagi parah apabila mereka terpelanting dari buaian di sebuah pesta ria.

Kedua-dua mangsa dilaporkan berada pada ketinggian lebih 10 meter di udara dalam ‘buaian’ pada beberapa cabang yang tercantum pada satu struktur apabila kapsul dinaiki tercabut dan tercampak ke tanah, lewat semalam.

Apabila penyelamat tiba di tempat kejadian di Firminy, seorang wanita berusia 24 tahun sudah maut manakala rakannya juga perempuan berusia 20 tahun dalam keadaan parah dan masih dirawat di hospital.

Polis berkata, empat orang termasuk pemilik dan pengendali dua permainan di pesta ria itu ditahan untuk membantu siasatan.

Pakar memeriksa permainan berkenaan yang kini ditutup untuk memastikan punca tragedi yang dilaporkan berlaku ketika angin kencang.

Pesta ria itu antara yang terbesar diadakan di Perancis selama dua minggu setiap Oktober, dengan 250 permainan dan tarikan yang menerima kira-kira 100,000 pengunjung.

Disiarkan pada: October 15, 2019 @ 5:18pm
d