global

Polis selamat keluarga dikurung

AMSTERDAM: Polis Belanda berjaya menyelamatkan lima beradik dan seorang lelaki dipercayai bapa mereka yang dikurung selama sembilan tahun di sebuah bilik di kawasan ladang terpencil di utara wilayah Drenth.

Reuters yang memetik pihak polis berkata, lima beradik yang dipercayai berusia antara 18 dan 25 tahun dan lelaki dikenal pasti sebagai bapa mereka yang uzur itu ditemui berhampiran Ruinerwold.

“Kami menemui enam orang tinggal di bilik sempit dalam rumah yang kemungkinan dikunci. Kami masih belum dapat memastikan sama ada mereka tinggal di situ secara sukarela.

“Mereka mendakwa mempunyai hubungan keluarga iaitu terdiri daripada lima beradik serta bapa,” katanya.

Pihak berkuasa juga tidak mengesahkan laporan stesen televisyen tempatan yang mendakwa keluarga terbabit mungkin dikurung akibat kepercayaan dunia akan kiamat.

Sebelum itu, Datuk Bandar, Roger de Groot berkata, seorang lagi lelaki berusia 58 tahun yang tidak ada hubungan keluarga dengan mereka sudah ditahan. - Reuters

Disiarkan pada: October 16, 2019 @ 11:35am
d