global

Bekas pengawal kem tahanan Nazi dibicara

HAMBURG: Bekas pengawal berusia 93 tahun dibicarakan di Jerman hari ini atas kesalahan bersubahat membunuh lebih 5,000 orang di kem tahanan Nazi ketika zaman Perang Dunia Kedua yang mungkin menjadi kes terakhir.

AFP melaporkan, lelaki dikenal pasti oleh media Jerman sebagai Bruno Dey itu dituduh terbabit dalam pembunuhan seramai 5,230 orang ketika bertugas di kem Stutthof berhampiran Danzig yang kini dikenali sebagai Gdansk di Poland.

“Sebagai pengawal di kem itu antara Ogos 1944 dan April 1945, dia dipercayai membantu melakukan pembunuhan kejam terhadap tahanan Yahudi,” kata pendakwa raya menerusi satu kenyataan.

Walaupun usianya sudah lanjut, Dey akan dibicarakan di mahkamah juvana memandangkan usianya 17 tahun ketika mula bekerja di Stutthof.

Media tempatan melaporkan, dia yang kini tinggal di Hamburg bekerja sebagai pembuat roti selepas tamat perang. - AFP

Disiarkan pada: October 17, 2019 @ 11:09am
d