global

Nasib Masjid Babri November ini

Oleh AFP

NEW DELHI: Mahkamah tertinggi India semalam, menamatkan perbicaraan bagi menyelesaikan pertikaian antara penduduk Islam dan Hindu terhadap rancangan membina kuil Hindu di atas tapak Masjid Babri yang dimusnahkan pelampau pada 1992.

Lima panel hakim dijangka mengumumkan keputusan pada pertengahan November ini.

Mereka mendengar 14 petisyen mencabar keputusan mahkamah lebih rendah pada 2010 yang memutuskan kawasan seluas 1.12 hektar itu dibahagi dua kepada penganut Islam dan Hindu.

Masjid Babri yang dibina pada kurun ke-16 di Ayodhya, Uttar Pradesh, pada 1992 mencetuskan rusuhan berdarah mengorbankan kira-kira 2,000 orang, sebahagian besarnya penduduk Islam.

Hakim terbabit memulakan prosiding penyelesaian itu hampir setiap hari sejak Ogos lalu, selepas rundingan kedua-dua pihak gagal.

Penganut Hindu percaya Dewa Ram dilahirkan di tapak masjid itu dan mendakwa pemerintah Islam, Babur, maharaja Mughal pertama, merobohkan kuil pada 1500-an bagi pembinaan Masjid Babri.

Ketika penjajahan British, pagar dibina memisahkan kawasan ibadat Islam di sebelah dalam manakala Hindu di luar.

Pertikaian undang-undang bermula pada 1885 dengan permohonan mendirikan khemah di halaman masjid untuk penganut Hindu. Pada 1949, dua tahun selepas India merdeka, patut Dewa Ram muncul dalam masjid, kononnya berada di situ kerana ‘keajaiban.’

Penganut Islam membantah dan bermulalah pertikaian sehingga hari ini.

Pada 1984, penganut Hindu menubuhkan jawatankuasa membebaskan tempat lahir Dewa Ram dan membina kuil diketuai LK Advani, pemimpin kanan Parti Bharatiya Janata (BJP) yang kini diketuai , Perdana Menteri Narendra Modi.

Pada 6 Disember 1992, 200,000 pelampau Hindu memusnahkan masjid itu, mencetuskan keganasan menyebabkan 2,000 terbunuh.

Pada 2010, Mahkamah Tinggi membahagi dua kawasan tapak masjid itu dengan penganut Hindu mendapat bahagian lebih besar dan kes dibawa ke Mahkamah Agung pada 2011.

Hanya Mac tahun ini, mahkamah itu melantik panel tiga hakim sebagai orang tengah namun gagal sebelum panel lima hakim dibentuk Ogos lalu, untuk mendengar kes berkenaan.

Disiarkan pada: October 18, 2019 @ 7:24am
d