global

Bayi lebam satu badan, hampir maut

Oleh Agensi

KIEV: Seorang bayi lelaki baru dilahirkan dipukul ibunya sehingga lebam sebelum ditinggalkan bersendirian ketika wanita itu keluar bertemu janji, malah jiran yang menemui anak malang itu pengsan melihat keadaannya menyayat hati.

Mykyta yang berusia sebulan ditemui lebam dengan kesan hitam dan biru akibat dipukul di Rivne, barat Ukraine.

Menurut laporan, Mykyta dan ibunya berusia 19 tahun tinggal bersama di sebuah asrama kebajikan.

Daily Mail yang memetik laporan polis melaporkan, pada 15 Oktober lalu, ibu Mykyta yang dirahsiakan namanya, meninggalkan bayinya sendirian dan keluar bertemu janji.

Tindakannya keluar sepanjang hari menyebabkan jirannya bimbangkan Mykyta.

Seorang jiran, Tetiana Prymak berkata: “Sewaktu cuba menukar pakaiannya kami melihat lebam hitam di seluruh tubuhnya. Seorang wanita yang berada di dalam bilik itu pengsan selepas melihat keadaan menimpa bayi itu.”

Mykyta segera dibawa ke unit penjagaan intensif disebabkan keadaannya kritikal dan doktor berusaha untuk menyelamatkannya.

Ketua unit penjagaan rapi Hospital Kanak-Kanak Rivne, Mykhailo Kulik berkata: “Kami mengesyaki tengkoraknya retak tetapi pemeriksaan ke atasnya tidak boleh dibuat sekarang.

“Saya fikir ibunya tidak pernah menukar pakaiannya atau menggunakan lampin pakai buang. Keadaan kulitnya sangat dahsyat.”

Polis melancarkan siastan jenayah kerana kegagalan wanita itu memenuhi tugasnya sebagai ibu.

Disiarkan pada: October 18, 2019 @ 9:56pm
d