global

Bunuh kucing, aku kerat-kerat kau

Oleh Agensi

MOSCOW: Seorang wanita berusia 41 tahun membelasah mati lelaki rakan serumahnya menggunakan tukul besi sebelum mengerat mayat berkenaan selepas lelaki terbabit membunuh kucingnya.

Polis berkata, wanita cuma dikenali sebagai Anastasia Kh itu mengerat mayat rakannya berusia 39 tahun menggunakan gergaji sebelum menyumbat semua sisa berkenaan ke dalam lima beg plastik pada 29 Mac lalu, lapor portal tempatan news24.

Anastasia, yang tidak bekerja, dilaporkan Daily Mail menaiki bas beberapa kali ke lokasi kira-kira 4.8 kilometer di Kirov, St Petersburg, untuk membawa beg berisi sisa mayat berkenaan untuk dibakar.

Sisa mayat berkenaan bagaimanapun ditemui seorang lelaki yang membawa anjingnya berjalan pada 5 April lalu dan terus menghubungi polis.

Polis menemui tulang kaki, rusuk, satu bahu, sebahagian tulang pelvik dan kulit manusia, lapor akhbar Komsomolskaya Pravda memetik sumber penguatkuasaan.

Menurut kenyataan Jawatankuasa Siasatan Russia: “Suspek wanita memukul mangsa di kepala menggunakan tukul serta menendangnya berulang kali. Selepas itu, dia mengerat mayat mangsa.”

Dua lagi penghuni apartmen berkenaan dilaporkan tidak menyedari kejadian berkenaan, lapor REN TV.

Menurut polis, dua rakan serumah itu sudah lama berselisih faham dan wanita berkenaan menuduh mangsa membunuh kucing kesayangannya.

Percikan darah mangsa turut ditemui di lantai rumah itu.

Pakar forensik berkata, mayat mangsa dikerat secara ‘profesional.’

Disiarkan pada: October 19, 2019 @ 7:21am
d