global

Didakwa selepas 18 tahun

Oleh AFP

SYDNEY: Seorang lelaki Iraq didakwa atas tuduhan memperdagangkan manusia berhubung kejadian pada 2001 yang melihat lebih 350 peminta suaka mati lemas untuk sampai ke Australia.

Maythem Radhi, 43, ditahan di lapangan terbang Brisbane semalam selepas diekstradisi dari New Zealand dan didakwa atas tuduhan ‘menganjurkan kumpulan bukan rakyat tempatan ke Australia.” Dia berdepan hukuman penjara 10 tahun jika sabit kesalahan.

Polis mendakwa dia anggota sindiket yang mengambil 421 orang, kebanyakannya rakyat Iraq dan Afghanistan, menaiki bot nelayan Indonesia dikenali pihak berkuasa Australia sebagai SIEV-X pada 2001.

Bot itu karam di Lautan Hindi dalam pelayaran ke Pulau Christmas, Australia, menyebabkan 353 maut termasuk 146 kanak-kanak.

Polis Persekutuan Australia (AFP) berkata dalam satu kenyataan: “Polis mendakwa tertuduh yang ketika itu berusia 24 tahun mengambil bayaran daripada penumpangnya.

“Dia juga didakwa membantu membawa dan memberi tempat tinggal mereka di Indonesia sebagai persediaan untuk pelayaran ke Australia.

Maythem adalah orang ketiga didakwa berhubung kejadian itu. Sebelum ini, rakyat Iraq, Khaleed Shnayf Daoed diekstradisi dari Sweden ke Australia pada 2003 sebelum dipenjara sembilan tahun, dua tahun kemudian.

Pendakwa berkata, Khaleed, 36, bekerja untuk rakyat Mesir, Abu Quassey, penyeludup manusia yang dipenjara tujuh tahun di negara asalnya spada 2003 kerana menyebabkan kematian akibat kecuaian.

Disiarkan pada: October 19, 2019 @ 12:53pm
d