global

Heret, rogol pelancong Perancis

Oleh Agensi

PHNOM PENH: Tiga lelaki didakwa atas tuduhan merogol seorang pelancong Perancis di Kampot selepas menawarkannya menumpang kereta mereka.

Suspek ditahan pada Selasa dan Rabu lalu, beberapa hari selepas wanita berusia 43 tahun itu melaporkan kejadian kepada polis pada 12 Oktober lalu, kata ketua polis wilayah Kampot, Mao Chanmuthurith kepada AFP.

Katanya, lelaki terbabit menghentikan kenderaan dan menawarkan wanita itu menumpang kereta mereka ke tempat penginapannya ketika mangsa berjalan pulang berseorangan pada jam 3 pagi.

Mereka kemudian mengheretnya ke dalam teksi itu sebelum memandu ke lokasi terpencil dan merogolnya.

Daily Mail turut menyiarkan rakaman kamera litar keselamatan tertutup yang menunjukkan kejadian berkenaan.

Pemandu teksi berusia 36 tahun dan dua buruh binaan berusia 19 serta 23 tahun berdepan hukuman penjara 15 tahun jika sabit kesalahan rogol.

Kampot yang terletak empat jam ke barat daya ibu negara, Phnom Penh, kini destinasi pelancongan popular bagi mereka yang mahukan percutian pantai lebih damai berbanding lokasi terkenal seperti Siem Reap, di mana terletak kompleks kuil Angkor Wat.

Bagaimanapun, ia semakin terkenal dengan penggunaan dadah sejak beberapa tahun lalu, dengan pengedar tempatan serta luar mencari pembeli dalam kalangan pengembara beg galas yang gemar berpesta.

Pada 2013, bandar itu dikejutkan dengan penemuan mayat wanita warga Perancis berusia 25 tahun yang hanyut di sebatang sungai.

Seorang lelaki warga Belgium didakwa atas tuduhan merogol dan membunuhnya, tetapi dibebaskan dengan jaminan setahun kemudian kerana ketiadaan bukti.

Disiarkan pada: October 19, 2019 @ 2:41pm
d