global

Penembak Iran campur tangan

Oleh Reuters

BAGHDAD: Kumpulan bersenjata sokongan Iran menempatkan penembak hendap di atas bumbung bangunan di Baghdad ketika tunjuk perasaan anti-kerajaan di Iraq baru-baru ini yang menjadi punca kematian tinggi orang awam, melebihi 100 orang dengan 6,000 cedera.

Kehadiran militia ketika tunjuk perasaan itu yang tidak dinyatakan sebelum ini, menunjukkan pengaruh Iran yang besar dalam kerajaan Iraq.

Mereka beroperasi bersama pasukan keselamatan Iraq namun mengekalkan rantaian pemerintahan sendiri.

Reuters melaporkan, menurut sumber keselamatan Iraq, ketua militia Iran itu memutuskan untuk membantu menangani tunjuk perasaan terhadap kerajaan Perdana Menteri Adel Abdul Mahdi yang mendapat sokongan kuat Iran.

“Kami mengesahkan bukti penembak hendap melapor terus kepada pemerintah mereka, bukan pegawai kanan pasukan tentera. Mereka anggota kumpulan yang amat rapat dengan Iran,” kata satu sumber itu.

Sumber kedua keselamatan Iraq yang menghadiri taklimat harian keselamatan kerajaan berkata, militia yang berpakaian hitam menembak penunjuk perasaan pada hari ketiga bantahan menyebabkan jumlah kematian meningkat daripada tidak sampai 10 menjadi lebih 50 orang.

Menurutnya, penembak hendap itu di bawah kawalan Abu Zainab al-Lami, ketua keselamatan Hashid iaitu pasukan separa tentera Syiah sokongan Iran.

Beliau berkata, ketua Hashid diarah menghalang bantahan oleh pasukan lebih berkuasa atau pemerintah kanan militia.

Beliau bagaimanapun, tidak menyatakan jumlah penembak hendap yang digunakan militia.

Jurucakap Hashid, Ahmed al-Asadi, bagaimanapun menafikan pihaknya terbabit dalam menangani rusuhan itu.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri Iraq, Saad Maan berkata, pasukan keselamatan kerajaan tidak melepaskan tembakan secara langsung ke arah penunjuk perasaan dan menyalahkan ‘penembak tidak diketahui’ sebagai punca korban dan kecederaan yang tinggi.

Pada sidang media 6 Oktober lalu, Maan berkata, kerajaan melancarkan siasatan bagi menentukan siapa menembak penunjuk perasaan.

Penafian pasukan keselamatan tidak terbabit dalam keganasan kelihatan bercanggah dengan kenyataan tentera Iraq pada 7 Oktober yang menyatakan kekerasan melampau digunakan untuk menangani bantahan sebelum kerajaan mengarahkan tentera berhenti campur tangan.

Disiarkan pada: October 20, 2019 @ 5:35am
d