global

Harta karun luar biasa [METROTV]

Oleh AFP

MESIR mempamerkan harta karun luar biasa dari berkurun-kurun lalu iaitu 30 keranda kayu purba yang masih dalam keadaan baik di Lembah Raja-raja di Luxor, Sabtu lalu.

Kementerian kepurbaan memparkan secara rasmi hasil penemuan di Asasif yang terletak berhampiran Sungai Nil pada sidang media berlatarbelakangkan tokong Hatshepsut.

“Ini adalah penemuan pertama di Asasif oleh warga Mesir yang berdedikasi dan terdiri daripada ahli arkeologi, pemuliharaan dan pekerja,” kata ketua Majlis Tertinggi Antikuiti, Mostafa al-Waziri.

Sebanyak 30 keranda lelaki, wanita dan kanak-kanak ditemui hanya satu meter di bawah tanah, disusun dalam dua baris. Mereka dipercayai ahli keluarga ketua sami.

Waziri menjelaskan bahawa penggalian tapak pada abad ke-19 itu mendedahkan makam diraja tetapi penemuan terbaharu ini menghasilkan koleksi pengebumian sami.

Keranda itu wujud sejak Dinasti ke-22 yang diasaskan kira-kira 3,000 tahun dahulu pada abad ke-10 BC.

Walaupun sudah lama, lukisan ular, burung, bunga teratai dan hieroglifa pada keranda itu masih dapat dilihat dengan jelas.

Terdapat juga keranda milik kanak-kanak Mesir kuno yang tidak lengkap dan tidak dicat.

“Kami hanya melakukan kerja pemulihan asas terhadap keranda itu. Ia semua berada dalam keadaan yang sangat baik kerana hampir tiada kawasan penempatan di sekitar tapak tersebut,” kata pembaik pulih tempatan, Saleh Abdel-Gelil.

Disiarkan pada: October 21, 2019 @ 4:24pm
d