global

Kardigan Kurt Cobain dilelong

Oleh AFP

NEW YORK: Baju kardigan ikonik dipakai anggota kumpulan Nirvana, Kurt Cobain ketika persembahan album Unplugged pada 1993 dijangka dijual antara AS$200,000 (RM836,460) hingga AS$300,000 (RM1.25 juta) pada lelongan Jumaat ini.

Pakaian sejuk berwarna hijau zaitun yang sudah lusuh itu mempunyai kesan kotoran gelap dan satu lubang kecil disebabkan terkena puntung rokok.

Pelelong Julien’s Auctions dalam satu kenyataan berkata, gitar Mustang Fender milik Cobain yang digunakannya sewaktu konsert jelajah In Utero juga akan dijual dalam lelongan selama dua hari itu.

Ini kali kedua Julien’s melelongkan kardigan jenama Manhattan itu yang pernah dijual pada harga sebanyak AS$137,500 (RM575,231) pada November 2015.

Julien’s mendapatkan kardigan itu daripada Jackie Farry, pengasuh anak perempuan Cobain, Frances Bean yang kini berusia 27 tahun.

Persembahan langsung album Unplugged dirakam kurang enam bulan sebelum Cobain membunuh diri.

Kertas pinggan terpakai yang digunakan penyanyi itu untuk menulis senarai lagu Nirvana bagi persembahan di sebuah kelab di Washington dilelong sebanyak AS$22,400 (RM93,710) pada awal tahun ini.

Satu lagi kardigan yang dipakai Cobain pada sesi penggambaran terakhirnya berjaya dijual pada harga AS$75,000 (RM313,762).

Disiarkan pada: October 22, 2019 @ 11:21am
d