global

Suspek bunuh kekasih dibebaskan

Oleh Reuters

HONG KONG: Suspek kes bunuh kekasih hamil yang mencetuskan bantahan di Hong Kong dibebaskan pada hari ini selepas menjalani hukuman penjara selama 29 bulan atas kesalahan pengubahan wang haram.

Chan Tong-kai yang adalah penduduk Hong Kong dituduh membunuh teman wanitanya ketika mereka bercuti di Taiwan pada tahun lalu.

Dia ditahan polis pada Mac tahun lalu selepas melarikan diri ke Hong Kong, namun pihak berkuasa hanya dapat mengumpul bukti dia terbabit dalam pengubahan wang haram.

Ketika meninggalkan penjara di daerah Sai Kung, Chan yang memakai baju kemeja biru laut dan membawa beg berwarna merah meminta maaf kepada keluarga mangsa dan orang awam.

Chan mengaku melakukan kesilapan yang sukar dimaafkan dan berkata akan menyerah diri kepada pihak berkuasa Taiwan, namun tidak menyatakan tarikh.

Susulan itu, pihak berkuasa Hong Kong berkata Chan bebas ke Taiwan untuk menyerah diri.

Namun, Majlis Hal Ehwal Taiwan dalam satu kenyataan meluahkan rasa terkejut kerana Chan mungkin menaiki kapal terbang ke pulau itu tanpa pengiring.

Menurut kenyataan itu, kerajaan Hong Kong mengabaikan keselamatan penumpang pesawat dan berulang kali meminta kerjasama mengikut undang-undang.

Malah, Taiwan turut menawarkan untuk menghantar pegawainya mengiring Chan, namun tindakan itu dianggap tidak menghormati kerajaan Hong Kong dan melanggar bidang kuasa undang-undang.

Kes Chan menjadi contoh sebab rang undang-undang ekstradisi diperlukan bagi membolehkan suspek jenayah di Hong Kong, Taiwan dan Macau dibawa ke China untuk dibicarakan.

Disiarkan pada: October 23, 2019 @ 12:43pm
d