global

Manuskrip asal Sukan Olimpik dilelong

Oleh AFP

LOS ANGELES: Manuskrip asal 1892 yang merangka premis moden Sukan Olimpik akan dilelong pada Disember ini di Sotheby, New York, Amerika Syarikat.

Teks 14 muka surat oleh pencipta Olimpik, Pierre de Coubertin iaitu seorang penasihat aristokrat Perancis dan sejarawan, menggariskan wawasannya untuk menghidupkan semula tradisi sukan purba dalam bentuk moden dan persaingan antarabangsa.

Dokumen itu ditulis sebagai ucapan memperjuangkan semangat kecemerlangan Sukan Olimpik, mempromosikan permainan yang adil dan sebagai manfaat peribadi serta untuk masyarakat.

“Manuskrip 14 muka surat itu adalah satu-satunya salinan manifesto yang wujud hingga ke hari ini,” kata Sotheby dalam satu kenyataan.

Bernilai kira-kira AS$700,000 (RM2.9 juta) hingga AS$1 juta (RM4.1 juta), dokumen itu bakal menjadi perhatian ramai dalam acara lelongan buku dan manuskrip pada 18 Disember depan.

Dua tahun selepas ucapannya itu, Coubertin mengasaskan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa dan pada 1896 Olimpik moden pertama diadakan di Athens.

Teks berkenaan yang dipamerkan di Sotheby, Los Angeles semalam adalah pertama kali diperlihatkan untuk tatapan orang ramai.

Disiarkan pada: October 24, 2019 @ 1:48pm
d