global

Wira seragam hitam

Oleh Agensi

ORLANDO, FLORIDA: Dua anggota polis Florida berjaya menyelamatkan bayi berusia setahun daripada maut dengan memberi bantuan kecemasan segera mengeluarkan biskut berbentuk ikan yang tersangkut pada tekak bayi berkenaan.

Dalam kejadian di Kississimee, Ahad lalu, anggota polis terbabit bergegas mendapatkan bayi berkenaan selepas ibunya, Amanda Zimmerman, berkejar ke jalan raya menjerit meminta pertolongan.

Menurut Daily Mail, dalam suapan di Facebook, Amanda berkata, dia memberi makan biskut itu kepada anaknya dikenali sebagai MJ di rumahnya.

“Dia menelan seluruh biskut dan tercekik. Apa saja yang saya buat gagal dan muka anak saya mula menjadi biru,” katanya.

Dalam keadaan panik, Amanda berlari keluar ke jalan raya mencari pertolongan dan kebetulan, Miguel Lanzo, membuat rondaan dengan kereta peronda di kawasan itu kira-kira jam 6.15 petang.

Polis itu meminta bantuan dan beberapa lagi anggota polis tiba dan seorang daripada mereka menepuk belakang bayi itu.

Polis ketiga sampai 45 saat kemudian, mengambil bayi itu dan meneruskan menepuk belakangnya.

Polis itu membalikkan bayi berkenaan dan melakukan kaedah Heimlich (menekan perut) dan 25 saat kemudian anggota polis itu kedengaran berkata, ‘Saya rasa tekaknya sudah tidak tersekat.’

Setiba di hospital, bayi itu kembali stabil dan bernafas normal.

Disiarkan pada: October 25, 2019 @ 7:12am
d