global

Kerajaan digesa kaji TikTok

Oleh AFP

WASHINGTON: Dua senator kanan Amerika Syarikat (AS) menggesa kerajaan untuk mengkaji risiko keselamatan antarabangsa yang mungkin ditimbulkan oleh aplikasi video milik China, TikTok, mengatakan ia mungkin menyebabkan pengguna di AS terdedah kepada intipan Beijing.

Dengan 500 juta pengguna di seluruh dunia, TikTok melonjak popular sejak dua tahun yang lalu, menawarkan platform untuk menghasil dan menerbitkan video segerak muzik sehingga 60 saat.

Dalam sepucuk surat kepada Pemangku Pengarah Perisikan Nasional Joseph Maguire, pemimpin Senat Demokrat Chuck Schumer dan Senator Republikan Tom Cotton mendakwa, pemilik TikTok, ByteDance mungkin dipaksa berkongsi maklumat pengguna dengan perisikan China.

Ia juga membayangkan intipan pintu belakang Beijing ke atas telefon pintar dan komputer pengguna, sama dengan tuduhan terhadap gergasi telekomunikasi China, Huawei.

“Dengan lebih 110 juta muat turun di AS sahaja, TikTok berpotensi sebagai ancaman risik balas yang tidak boleh kita abaikan,” tulisnya, menggesa komuniti perisikan menjalankan penilaian risiko keselamatan negara oleh aplikasi itu.

“Undang-undang China mungkin mewajibkan syarikat itu menyokong dan bekerja sama dengan tugas intipan yang dikawal Parti Komunis China,” kata senator.

Mereka mendakwa, TikTok mengumpul data peribadi penting daripada pengguna, menjadikannya risiko keselamatan.

Menurut TikTok menerusi laman webnya, pihaknya tidak dipengaruhi oleh mana-mana kerajaan asing termasuk China.

Disiarkan pada: October 25, 2019 @ 8:55pm
d