global

Punyalah nak rokok...

Oleh Agensi

BEIJING: Kerana tidak sanggup ‘berpuasa’ merokok walaupun cuma untuk beberapa jam, seorang penumpang cuba menyeludup pemetik api di dalam mulutnya sebelum menaiki pesawat.

Penumpang lelaki yang cuma dikenali sebagai Quan itu mahu mengelak pemetik api itu dikesan dan dirampas ketika memasukkan bagasi dalam mesin pengimbas pemeriksaan keselamatan sebelum menaiki penerbangan buat kali pertama seumur hidupnya pada 16 Oktober lalu, lapor The Mirror.

Rakaman kamera keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Shenyang Taoxian di wilayah China itu menunjukkan Quan mengangkat tangan untuk diperiksa seorang polis wanita.

Anggota berkenaan bagaimanapun merasakan sesuatu tidak kena kerana melihat pipi Quan kembung lalu menyoalnya mengenainya.

Quan pada mulanya mendakwa baru mencabut gigi tetapi akhirnya terpaksa mengaku perbuatannya dan meludah keluar pemetik api itu, kata seorang anggota keselamatan kepada Pear Video.

Global Times memetik Pear Video melaporkan, Quan tidak sanggup menaiki penerbangan dua jam tanpa menghisap rokok dan mahu menyeludup masuk pemetik api itu untuk merokok di dalam pesawat.

Akibatnya, anggota polis Li Chen berkata, Quan bukan saja dilarang menaiki penerbangan ke Nanjing itu, malah didenda 1,000 yuan (RM592).

Seorang pengguna Weibo berkata: “Dia sepatutnya berterima kasih kepada anggota keselamatan yang menahannya. Jika merokok dalam penerbangan, sudah pasti dia dihukum penjara.”

Disiarkan pada: October 26, 2019 @ 8:59pm
d