global

Jambatan pengikat kasih

Oleh AFP

CIUDAD JUAREZ (MEXICO): Ratusan pendatang Mexico di Amerika Syarikat (AS) disatukan kembali dengan keluarga mereka hanya untuk beberapa saat sebagai sebahagian daripada ‘pelukan bukan tembok’ di sempadan AS - Mexico.

Orang ramai menangis di atas jambatan yang menghubungkan Ciudad Juarez, Mexico dengan El Paso, Amerika Syarikat dengan melambaikan tangan ke arah ahli keluarga dan saudara-mara yang tidak ditemui selama bertahun-tahun dan berjalan perlahan bersama-sama.

Jambatan itu dijadikan wilayah neutral selama empat jam semasa acara itu yang berlangsung untuk kali ketujuh bagi membolehkan pendatang tanpa izin di AS untuk melihat ahli keluarga mereka di Mexico.

“Tiada kata-kata yang dapat saya gambarkan, ia sesuatu yang sangat indah dan amat diperlukan,” kata Brandon yang berusia 20 tahun kepada AFP sambil mengelap air mata di wajahnya.

Menurutnya, dia berpeluang melihat ibu bapa dan lima saudara perempuannya yang tinggal di Mexico dan tidak menemui mereka selama 5 tahun.

Acara yang dianjurkan Rangkaian Sempadan untuk Hak Asasi Manusia itu, menyaksikan seramai 260 keluarga bersatu dengan orang tersayang.

Disiarkan pada: October 27, 2019 @ 7:54pm
d