global

California isytihar darurat

Oleh AFP

HEALDSBURG: Gabenor California mengisytiharkan darurat di negeri itu semalam selepas kebakaran hutan semakin tidak terkawal akibat angin kencang memaksa puluhan ribu penduduk berpindah dan gangguan bekalan elektrik besar-besaran.

Kebakaran yang dinamakan Kincade Fire, di utara San Francisco itu merebak sehingga 12,000 hektar semalam, dengan cuma 10 peratus berjaya dikawal menjelang tengah hari semalam, kata pasukan bomba.

Kebakaran itu, paling marak berbanding 12 kebakaran hutan lain di seluruh negeri itu, sudah memusnahkan puluhan rumah dan kilang wain, termasuk Kilang Wain Soda Rock, ikon yang dibina pada 1869.

“Kami melihat berita. Kami amat sedih,” kata pemiliknya dalam mesej di Facebook, menambah semua kakitangan di kilang itu selamat.

Kincaid Fire, paling buruk di California tahun ini, bermula Rabu lalu dan merebak pantas kerana tiupan angin yang mencecah 145 kilometer sejam.

Gabenor Gavin Newsom mengisytiharkan darurat seluruh negeri semalam disebabkan angin kencang yang memburukkan kebakaran.

“Kami mengerah semua sumber yang ada, dan menyelaraskan dengan pelbagai agensi ketika terus berusaha mengawal api,” kata Newsom.

Dianggarkan 180,000 penduduk berada dalam arahan pemindahan mandatori, termasuk beberapa wilayah Santa Rosa dan sebahagian besar Sonoma sepanjang ke Lautan Pasifik.

Disiarkan pada: October 28, 2019 @ 10:54am
d