global

Ekonomi Hong Kong meleset

Oleh Reuters

HONG KONG: Ekonomi Hong Kong kini memasuki fasa meleset yang berpunca daripada tunjuk perasaan antikerajaan selama lima bulan yang tidak menunjukkan tanda-tanda akan berhenti.

“Kesan pada ekonomi adalah komprehensif,” kata Setiausaha Kewangan Hong Kong, Paul Chan dalam blognya semalam.

Katanya, unjuran awal untuk suku ketiga Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) menunjukkan menguncup untuk dua suku berturut-turut - definisi secara teknikal, meleset.

Chan juga memberitahu, sangat sukar untuk mencapai unjuran perkembangan ekonomi tahunan yang dibuat kerajaan sebelum bantahan tercetus iaitu antara 0 hingga 1 peratus.

Tunjuk perasaan bagi membantah pengaruh China dan menuntut lebih kebebasan politik di pulau bekas jajahan Britain itu kini masuk minggu ke-21.

Semalam, penunjuk perasaan membakar premis perniagaan dan membaling bom petrol ke arah polis yang membalas dengan melepaskan gas pemedih mata, meriam air serta menembak peluru getah.

Disiarkan pada: October 28, 2019 @ 12:19pm
d