global

Duterte cabar timbalannya selepas dikritik

Oleh Reuters

MANILA: Pemimpin Filipina, Rodrigo Duterte membidas Timbalan Presiden Leni Robredo yang mengkritik peperangannya menentang dadah, malah turut menawarkan Leni untuk mengetuai bahagian penguatkuasaan undang-undang.

Duterte berkata akan memberi tempoh enam bulan kepada pemimpin parti pembangkang itu untuk melaksanakan tugas terbabit.

“Kita tengok apa akan berlaku. Saya tidak akan masuk campur,” katanya ketika berucap di hadapan pegawai kerajaan baru pada hari ini.

Namun, kurang pasti sekiranya Duterte cuma menyindir Leni biarpun beliau berkata akan menghantar surat kepada bekas peguam hak asasi manusia itu.

Dalam temu bual bersama Reuters sebelum ini, Leni berkata meskipun ramai orang dibunuh, tindakan itu didapati tidak menyelesaikan masalah dadah di Filipina.

Komen Leni mencetuskan kemarahan Duterte, pegawainya dan juga penyokongnya.

Leni turut mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk melakukan siasatan terhadap tuduhan pelanggaran hak.

Duterte kemudian memberitahu wartawan, Leni boleh memulakan tugasan itu pada bila-bila masa dan sebolehnya pada malam ini.

“Saya boleh melantik dia sebagai Raja dadah agar dia tahu betapa mudahnya untuk mengawal dadah,” katanya.

Disiarkan pada: October 28, 2019 @ 11:10pm
d