global

Lelaki penggal kepala bayi dihukum tembak di kepala

Oleh Agensi

BELARUS: Lelaki 48 tahun yang memenggal kepala seorang bayi perempuan lapan bulan akan menjalani hukuman mati dengan ditembak di kepala oleh skuad penembak.

Viktar Sharhel, 48, dijatuhkan hukuman mati oleh skuad penembak kelmarin, kerana membunuh Anna, ketika berpesta bersama ibu bayi berkenaan, Natalya Kolb, 26, di rumah wanita itu.

Natalya yang turut disabitkan dengan kesalahan membunuh, dipenjara 25 tahun, iaitu hukuman paling berat boleh dikenakan terhadap wanita mengikut undang-undang Belarus.

Menurut laporan media tempatan, ketika bapa mangsa, Leonid Kolb, pulang dia mendapati Viktar dan Natalya sedang minum minuman keras sebelum menemui mayat anaknya yang berlumuran darah.

“Leonid yang pulang bersama dua lagi anak lelaki, melihat mayat anak perempuannya berlumuran darah dalam keadaan kepala terputus,” kata laporan berkenaan.

Mangsa turut mempunyai 46 kesan kecederaan lain dan dibunuh menggunakan pisau dapur.

Menurut jiran, seorang doktor dari perkhidmatan ambulans turut pengsan sebaik tiba di lokasi kejadian.

Mahkamah Serantau Brest diberitahu, mangsa dibelasah berulang kali dan pembunuhan berkenaan dilakukan dengan begitu kejam.

Presiden Belarus, Alexander Lukashenko berkata, beliau akan meluluskan hukuman mati terhadap tertuduh.

Pelaksanaan hukuman mati di Belarus hanya untuk pesalah lelaki berusia antara 18 dan 65 tahun dengan mata ditutup dan melutut sebelum ditembak di belakang kepala.

Disiarkan pada: October 30, 2019 @ 11:47am
d