global

Maut dihurung tebuan selama empat hari

Oleh Agensi

CHIANG MAI: Mayat seorang pemandu pelancong yang maut diserang sekumpulan tebuan di depan pelancong di sini, hanya dapat dikeluarkan selepas empat hari kerana berterusan dihurung serangga berbisa itu.

Mangsa maut akibat disengat tebuan yang terus menyerangnya selama empat hari ketika membawa satu pasangan warga Perancis ke kawasan hutan.

Mail Online melaporkan, Sanchai Phaoarun, 58, membawa pasangan itu mendaki gunung di Chiang Mai, utara Thailand pada Sabtu lalu sebelum diserang tebuan berkenaan.

Mereka dipercayai terpijak sarang tebuan menyebabkan ribuan serangga berbisa itu menyerang mangsa.

Sanchai terjatuh ketika melarikan diri menyebabkan dia disengat ribuan tebuan manakala pasangan berkenaan yang turut disengat berjaya menyelamatkan diri ke kampung berhampiran.

Pasangan Jean Louis L’amour dan Anne Mapile kini dirawat di hospital.

Pasukan penyelamat menemui Sanchai yang sudah tidak bernyawa tetapi gagal menghampiri kerana mayatnya masih dihurung ribuan tebuan.

Selepas empat hari, akhirnya mayat Sanchai dibawa keluar oleh pasukan penyelamat yang memakai pakaian khas.

Jurucakap polis, Sampan Yotin berkata, mangsa mati akibat disengat tebuan dan kes itu tiada unsur jenayah.

“Pasangan warga Perancis itu turut cedera dan mereka sudah memberi keterangan kepada polis,” katanya.

Disiarkan pada: November 1, 2019 @ 11:26am
d