global

Sekolah tutup akibat pencemaran udara

Oleh Reuters

NEW DELHI: Semua sekolah di New Delhi akan ditutup sehingga 5 November ini, kata kerajaan bandar hari ini ketika penduduk menyedut udara tercemar untuk tiga hari berturut-turut.

Ketika kebakaran ladang dari negeri jiran membawa asap tercemar ke New Delhi, Ketua Menteri Arvind Kejriwal mengarahkan sekolah ditutup, katanya menerusi tweet.

Awal hari ini, panel alam sekitar lantikan kerajaan mengisytiharkan pencemaran udara di New Delhi sebagai kecemasan kesihatan awam, menurut laporan ANI yang memetik surat daripada Pihak Berkuasa Kawalan Pencemaran Alam Sekitar.

“Ini adalah kecemasan kesihatan awam kerana pencemaran udara kini ditahap berbahaya dan membawa kesan buruk kesihatan kepada semua terutama kanak-kanak,” kata ANI memetik surat terbabit.

Indeks pemantau kerajaan mencatatkan bacaan mencecah 500 di beberapa bahagian di ibu kota, paras maksimum yang direkodkan oleh Lembaga Kawalan Pencemaran Pusat.

Disiarkan pada: November 1, 2019 @ 8:44pm
d