global

Guna kucing lawan polis

Oleh Agensi

MOSCOW: Seorang lelaki berdepan hukuman penjara lima tahun kerana menggunakan seekor kucing sebagai ‘senjata’ untuk menyerang anggota polis yang datang menyiasat apartmennya di Moscow.

Gennady Shcherbakov, 59, dilaporkan duduk di ruang tangga sebuah bangunan apartmen sambil minum arak dan membuat bising menyebabkan penduduk yang tidak tahan menghubungi polis, lapor The Independent memetik media tempatan.

Apabila polis datang menyiasat, Shcherbakov yang bukan penghuni apartmen berkenaan mengambil seekor kucing yang kebetulan lalu di situ dan mencampaknya ke arah anggota terbabit.

Haiwan yang terkejut dan marah itu membenamkan kukunya pada wajah mangsa menyebabkan polis itu mengalami luka teruk.

Menurut BBC, Shcherbakov bagaimanapun menafikan perbuatannya, sebaliknya mendakwa kucing itu yang melompat ke arah anggota polis terbabit.

Moscow Times melaporkan, kejadian berlaku tahun lalu dan anggota polis itu pada mulanya memilih untuk tidak memfailkan aduan sehingga jawatankuasa siasatan memilih membuka siasatan, baru-baru ini.

Susulan itu, Shcherbakov ditahan dan didakwa pada Rabu lalu atas tuduhan keganasan terhadap polis.

Disiarkan pada: November 3, 2019 @ 11:14am
d