global

Penerbangan dilencong, ditangguhkan di New Delhi

Oleh AFP

NEW DELHI: New Delhi dilanda jerebu toksik hari ini, tahap terburuk dalam beberapa tahun kebelakangan ini sehingga banyak penerbangan terpaksa dilencong atau ditangguhkan.

Pada setiap musim sejuk, ibu kota dengan 20 juta penduduk itu diselubungi pencemaran asap kenderaan, industri dan pembakaran sisa tanaman di ladang oleh beberapa negara jiran.

Menurut Sistem Ramalan dan Penyelidikan Cuaca Kualiti Udara (SAFAR), kepekatan zarah halus berukuran kurang 2.5 mikron mencapai tahap tertinggi musim ini, diburukkan lagi dengan ketiadaan hujan lewat semalam.

Paras bacaan bahan pencemar atmosfera mencecah 810 mikrogram satu meter padu di zon berbahaya, pagi tadi, menurut kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Delhi yang melakukan pemantauan bebas.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mencadangkan paras maksimum selamat harian pada 25.

“Pencemaran sampai ke tahap yang tidak boleh diterima lagi,” kata Ketua Menteri Delhi, Arvind Kejriwal, hari ini.

Penduduk tempatan mengadu pedih mata dan tekak dengan ada yang memakai topeng sebagai perlindungan.

Paras penglihatan juga amat teruk sehingga syarikat Air India dan Vistara memaklumkan penerbangan ditangguhkan atau dialihkan dari atau ke lapangan terbang di Delhi.

Disiarkan pada: November 3, 2019 @ 11:29pm
d