global

Sudan lancar satelit pertama di China

Oleh AFP

KHARTOUM: Satelit pertama Sudan untuk membuat penyelidikan dalam ketenteraan, ekonomi dan teknologi ruang angkasa dilancarkan di China, semalam.

Jeneral Abdel Fattah al-Burhan mengumumkan pelancaran satelit itu dalam pertemuan bersama pegawai keselamatan yang diadakan di Khartoum.

Agensi berita China Xinhua melaporkan, satelit itu dilancarkan pada Ahad lalu dari Wilayah Shanxi di China utara.

“Satelit ini bertujuan untuk membangunkan penyelidikan dalam teknologi ruang angkasa, memperoleh data serta mencari sumber semula jadi bagi keperluan ketenteraan negara,” menurut kenyataan yang dikeluarkan majlis itu.

Jurucakap badan pemerintah, Mohamed al-Fakhi Sulaiman berkata: “Satelit itu akan dipantau dari Sudan dalam beberapa bulan ini.

“Pelancaran satelit dibuat di China kerana adalah rakan kongsi dalam projek ini.”

Sudan terbabit dalam program angkasa nasional selama beberapa dekad meliputi pelbagai aktiviti seperti geoinformatik.

Pada 2013, bekas pemimpin Sudan Omar al-Bashir menubuhkan Institut Penyelidikan Angkasa dan Aeroangkasa (ISRA) sebagai sebahagian daripada rancangan keseluruhan untuk membangunkan teknologi ruang angkasa.

Disiarkan pada: November 6, 2019 @ 12:13pm
d