global

Rela bunuh diri daripada ditangkap

Oleh AFP

BANGKOK: Seorang suspek dadah warga Amerika bersama isterinya yang juga rakyat tempatan ditangkap dua hari selepas meloloskan diri dari mahkamah dengan menembak serta menikam kakitangan dan polis.

Pasangan itu lolos dari mahkamah di Pattaya bersama rakan mereka, dan mencederakan seorang anggota polis dalam kejadian itu sebelum melarikan diri menaiki sebuah pikap.

Semalam, pasangan itu ditahan di Sa Kaeo berhampiran sempadan Kemboja, malah lelaki terbabit menembak isterinya sebelum cuba membunuh diri ketika pihak berkuasa menahan mereka.

Pembantu Ketua Polis Negara, Sattawat Hiranburana memberitahu AFP, rakyat Amerika itu mengalami kecederaan serius manakala isterinya turut cedera tetapi keadaannya tidak kritikal.

Pasangan itu berdepan hukuman mati kerana mengedar dadah. Suspek ketiga juga sudah ditangkap secara berasingan, manakala dua orang yang disyaki membantu mereka melarikan diri turut ditahan.

Televisyen tempatan melaporkan pihak berkuasa mendapat maklumat daripada penduduk di Sa Kaeo yang syak dengan tindak-tanduk pasangan berkenaan.

Disiarkan pada: November 6, 2019 @ 9:45pm
d