global

2 maut susulan Siklon Bulbul

Oleh AFP

PULAU MOUSOUNI: Sekurang-kurangnya dua maut selepas Siklon Bulbul membadai India dan selatan Bangladesh semalam, sewaktu pihak berkuasa mengarahkan lebih dua juta penduduk berpindah.

Seorang mangsa maut akibat ditimpa pokok tumbang di Kolkata manakala seorang lagi akibat dinding runtuh berikutan angin kencang di Odisha, kata pihak berkuasa.

Lebih 60,000 orang berpindah dari kawasan pantai di sebelah sempadan India.

Menurut Jabatan Meteorologi Dhaka, siklon yang membawa angin kencang sehingga 120 kilometer sejam, semakin lemah dan menyeberang kawasan Bengal Barat, India dan pantai Khulna, Bangladesh kira-kira jam 9 malam waktu tempatan.

“Ia kemungkinan bergerak ke arah timur laut dan semakin lemah secara berperingkat dan mungkin selesai menyeberangi pantai Bengal Barat-Khulna menjelang tengah malam tadi,” kata jabatan itu.

Lapangan terbang dan pelabuhan ditutup manakala kematian dilaporkan sebelum serangan penuh siklon berlaku.

Setiausaha Pengurusan Bencana Bangladesh, Shah Kamal memberitahu AFP, seramai 2.028 juta orang dipindahkan dan ditempatkan di lebih 5,500 pusat perlindungan siklon.

Disiarkan pada: November 10, 2019 @ 11:59am
d