global

Saling berbalas serangan

Oleh Agensi

GAZA: Pejuang Palestin di Gaza dan tentera Israel saling berbalas serangan hari ini selepas rejim Zionis membunuh seorang komander kumpulan Islamic Jihad.

Al Jazeera melaporkan serangan roket dari Gaza ke Israel masih berterusan dan tentera rejim Zionis membalas dengan serangan udara.

“Kami mendengar dan melihat roket dilancarkan dari Gaza dan menghala ke utara (wilayah Israel). Sebahagian roket itu dipintas oleh sistem pertahanan peluru berpandu Iron Dome.

“Kami juga mendengar pesawat dan jet pejuang tentera Israel melintasi Gaza. Kemungkinan tentera Israel bakal melancarkan serangan udara terbaru,” kata wartawan Al Jazeera, Harry Fawcett.

Menurutnya, kawasan berhampiran sempadan Israel-Gaza turut dikawal ketat.

Sementara itu, kementerian kesihatan Gaza memberitahu, sekurang-kurangnya lima orang termasuk komander kumpulan Islamic Jihad, Bahaa Abu al-Ata dan isterinya terbunuh dalam serangan udara Israel.

Bahaa dan isterinya terbunuh selepas kediamannya di Gaza di bom tentera Israel.

Seramai 25 lagi penduduk Palestin dilaporkan cedera dalam serangan sejak pagi tadi.

Pasukan perubatan Israel pula memberitahu, seramai 39 orang dirawat.

Disiarkan pada: November 13, 2019 @ 12:15am
d