global

Ikrar balas tindakan Israel

Oleh Agensi

GAZA: Pertubuhan Islamic Jihad dan Hamas yang mentadbir Gaza berikrar membalas tindakan Israel membunuh pemerintah tentera Islamic Jihad dalam serangan udara menggunakan peluru berpandu terhadap rumah pemimpin itu di Gaza semalam.

Pertubuhan itu mengumumkan kematian Baha Abu al-Atta, 42, dalam serangan udara yang turut mengorbankan isteri Atta.

“Pembalasan kami akan menggegarkan Zionis,” kata kenyataan Islamic Jihad.

Islamic Jihad ialah pertubuhan kedua selepas Hamas berpengaruh besar di Gaza.

Hamas yang menyatakan Israel bertanggungjawab sepenuhnya bagi sebarang akibat selepas ini, berjanji kematian al-Atta ‘tidak akan dibiarkan tanpa hukuman.’

Menurut kenyataan tentera Israel, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu meluluskan serangan terhadap al-Atta yang dipersalahkan terhadap serangan roket, dron dan penembak hendap terhadap Israel serta cuba menyusup masuk ke negara itu.

“Abu Al-Atta bertanggungjawab terhadap hampir semua aktiviti Islamic Jihad di Semenanjung Gaza dan beliau adalah bom jangka,” kata kenyataan tentera Israel.

Tidak lama selepas serangan itu, bedilan roket menghujani wilayah Israel dengan AFP melaporkan sehingga 50 roket dan menurut tentera Israel, ia memintas kira-kira 20 roket.

Namun, Israel tidak menyatakan di mana roket yang gagal dipintas jatuh atau berkemungkinan kerosakan.

Reuters melaporkan Netanyahu berkata, serangan Islamic Jihad itu sudah dijangka.

“Ketegangan ini akan mengambil masa,” katanya.

Sementara itu, Israel turut melancarkan serangan udara menyasar pegawai kanan Islamic Jihad di Damsyik, Syria, membunuh anak lelaki pegawai berkenaan dan seorang lagi serta enam cedera.

Menurut laporan agensi berita Syria, SANA, bedilan roket pesawat Israel mengenai rumah Akram al-Ajouri, membunuh anaknya, Muadh dan seorang lagi.

Menurut AFP, serangan itu menyebabkan kerosakan teruk bangunan tiga tingkat di Mezzah, tidak jauh dari Kedutaan Lubnan.

Disiarkan pada: November 13, 2019 @ 7:19am
d