global

Tahan tiga juta Uighur di 500 kem

Oleh AFP

ARLINGTON, Amerika Syarikat: Aktivis Uighur yang mendokumenkan hampir 500 kem dan penjara dikendalikan kerajaan China untuk menahan kumpulan etnik, mendakwa lebih sejuta orang, berkemungkinan sehingga tiga juta ditahan di kem serta penjara terbabit.

Pergerakan Kebangkitan Kebangsaan Turkistan Timur berpangkalan di Washington yang memperjuangkan kemerdekaan wilayah Islam, Xinjiang, turut menyertakan kordinat 182 kem tahanan yang menempatkan etnik Islam Uighur.

Hasil kajian berdasarkan imej Google Earth, kumpulan itu turut mengesan 209 dipercayai penjara dan 74 disyaki kem tahanan.

Pengarah operasi kumpulan itu, Kyle Olbert, berkata semalam, pihaknya bimbang kemungkinan ada lagi penjara dan kem yang gagal dikesan.

Bekas ejen agensi perisikan Amerika Syarikat, Anders Corr, yang kini menjadi penganalisis pergerakan itu berkata, 40 peratus daripada kemudahan terbabit tidak dilaporkan sebelum ini.

Aktivis menganggarkan China menahan lebih sejuta etnik Uighurs dan penduduk Islam etnik Turki lain di kemudahan yang didakwa kem pendidikan semula.

Namun, Mei lalu, pegawai kanan Pentagon untuk Asia, Randall Schriver, berkata jumlah tahanan itu hampir tiga juta orang, jumlah yang besar di wilayah berpenduduk 20 juta itu.

Aktivis dan saksi mendakwa China menggunakan seksaan dan paksaan untuk ‘menyertakan’ etnik Uighur ke dalam budaya etnik majoriti Han, termasuk meninggalkan ajaran Islam seperti solat dan puasa serta memaksa mereka makan babi dan minum arak.

Disiarkan pada: November 13, 2019 @ 9:16pm
d