global

Pandu perlahan demi alam sekitar

Oleh AFP

THE HAGUE: Belanda mengurangkan had laju kenderaan pada waktu siang kepada 100 kilometer sejam (kmsj) dalam usaha menangani krisis pencemaran yang mencetuskan protes oleh petani, kata Perdana Menteri Mark Rutte.

Kerajaan berusaha mencari cara mengurangkan penghasilan nitrogen dan ammonia selepas sebuah mahkamah pada awal tahun ini memutuskan polisi sedia ada melanggar peraturan Kesatuan Eropah (EU).

Had laju baru itu yang dijangka diperkenalkan pada 2020 bersamaan dengan Cyprus, dan yang terendah di Eropah. Pemandu hanya dibenarkan memandu pada kadar kelajuan sedia ada, iaitu 130kmsj antara jam 7 malam hingga 6 pagi.

Dalam satu sidang media, Rutte mengakui tiada sesiapa sukakan peraturan baru itu namun terpaksa dilakukan untuk mengelak lebih banyak keburukan terhadap Belanda.

Mahkamah Belanda pada Mei lalu memutuskan kerajaannya melanggar peraturan EU bagi memelihara kawasan simpanan semula jadi daripada gas seperti ammonia dan nitrus oksida.

Susulan itu, projek besar membabitkan pembinaan jalan serta lapangan terbang terpaksa ditangguhkan untuk membolehkan kerajaan mencari cara mengatasi perkara itu.

Ia turut mengakibatkan perubahan terhadap cara kerja petani, contohnya membabitkan makanan ternakan seterusnya mencetuskan protes besar-besaran termasuk satu membabitkan ribuan traktor yang mengakibatkan kesesakan lalu lintas terbesar direkodkan negara itu.

Menurut media Belanda, had laju baru itu antara lain bagi membuktikan kepada golongan petani bahawa seluruh anggota masyarakat juga terkesan dengan usaha menangani krisis berkenaan.

Disiarkan pada: November 13, 2019 @ 9:21pm
d