global

25 dituduh bunuh penuntut kritik kerajaan

Oleh AFP

DHAKA: Seramai 25 orang, sebahagian besar ahli parti Liga Awami yang memerintah Bangladesh didakwa dengan tuduhan membunuh semalam, berikutan pembunuhan kejam penuntut universiti yang mengkritik kerajaan di media sosial.

Abrar Fahad, 21, ditemui tidak sedarkan diri dengan banyak kesan kecederaan di tangga bangunan asrama Universiti Kejuruteraan dan Teknologi Bangladesh Oktober lalu, beberapa jam selepas dia menulis di Facebook mengkritik kerajaan kerana menandatangani perjanjian air perkongsian air dengan India.

Dia dikejarkan ke hospital namun doktor mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

Menurut polis, dia dibelasah sampai mati oleh penuntut dengan ramai daripadanya anggota cawangan Liga Awami universiti itu.

Jurucakap polis, Monirul Islam, berkata tuduhan membunuh dikenakan terhadap 25 lelaki.

“Berdasarkan rakaman CCTV, sekurang-kurangnya 11 orang terbabit secara langsung membelasah Abrar hingga mati.” katanya.

Kematian Abrar mencetuskan bantahan dalam kalangan penuntut seluruh Bangladesh menyebabkan Perdana Menteri Sheikh Hasina berjanji pembunuhnya akan menerima hukuman setimpal.

Disiarkan pada: November 13, 2019 @ 11:24pm
d