global

Pakar bingung ribuan burung mati

Oleh Agensi

NEW DELHI: Sekumpulan pakar bingung dengan fenomena pelik apabila ribuan burung ditemui mati di sekitar Tasik Sambhar di barat daya Jaipur, India pada Ahad lalu.

India Today melaporkan, terdapat kira-kira 5,000 bangkai burung yang terdiri daripada pelbagai spesies termasuk bangau ditemui di kawasan tasik berkenaan.

Sehingga kini, pakar masih mencari punca kematian burung hijrah terbabit walaupun terdapat beberapa teori mengaitkannya dengan keracunan akibat racun perosak.

Ada juga teori mengatakan ia mungkin disebabkan oleh pencemaran air namun perkara itu akan dikaji selepas beberapa bangkai dibawa ke Bhopal untuk diperiksa.

“Saya tidak pernah melihat perkara seperti ini dalam tempoh 40 tahun bekerja di jabatan perhutanan. Pada mulanya saya sangka ia berpunca daripada hujan tetapi ia berlaku setiap tahun dan tidak mendatangkan sebarang kesan seperti ini.

“Kesan tumpahan bahan kimia juga tidak ditemui di tasik ini,” kata Ramesh Chandra Daroga.

Disiarkan pada: November 14, 2019 @ 7:56pm
d