global

19 korban bom kereta

Oleh AFP

BEIRUT: Serangan bom kereta mengorbankan 19 orang termasuk 13 daripadanya adalah orang awam di bandar Al-Bab, utara Syria yang dikuasai Turki, kata pemerhati perang.

Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) melaporkan, stesen bas dan teksi di bandar itu yang turut terkena bom mencederakan 33 orang, sebahagiannya parah.

Turki dan proksi Syrianya mengawal beberapa kawasan di sebelah sempadan Syria akibat pencerobohan berturut-turut pada 2016-2017, 2018 dan 2019.

Tiada pihak mengaku bertanggungjawab, tetapi menurut SOHR terdapat insiden keselamatan berterusan di bandar sejak ditawan tentera Turki daripada militan Daesh pada Februari 2017.

Bandar itu yang terletak kira-kira 30 kilometer di timur laut Aleppo, Syria, antara kubu kuat Daesh di sebelah barat yang akhirnya dihapuskan pasukan Kurdish disokong Amerika Syarikat di timur Syria pada Mac lalu.

Turki menyalahkan serangan bom kereta itu ke atas Unit Perlindungan Rakyat Kurdish (YPG) yang melancarkan pencerobohan lanjut di sebelah timur bulan lalu.

Disiarkan pada: November 17, 2019 @ 11:50am
d