global

will.i.am tuduh kru Qantas bersifat perkauman

Oleh AFP

SYDNEY: Pelakon dan penyanyi will.i.am menuduh seorang kru penerbangan Qantas bersifat perkauman, selepas wanita itu bertindak keterlaluan dengan menghubungi polis dalam penerbangan domestik Australia.

Menerusi Twitter kelmarin, penyanyi utama Black Eyed Peas itu mendakwa wanita berkenaan ‘terlebih agresif’ dan sengaja memburukkan keadaan hanya kerana dia tidak mendengar taklimat keselamatan dalam pesawat.

Menerusi hashtag #RacistFlightAttendant will.i.am berkata, pramugari itu sangat biadab dan bertindak keterlaluan memanggil polis.

“Lima pegawai (polis) menunggu ketibaan saya di Sydney berikutan penerbangan selama 90 minit dari Brisbane.

“Syukur apabila penumpang lain memberi keterangan bahawa kru wanita itu keterlaluan. Polis akhirnya melepaskan saya,” katanya dalam tweet.

 

Katanya, dia mematuhi arahan segera dan sopan selepas diarah wanita itu agar menyimpan komputer riba.

“Saya enggan mempercayai wanita itu bersifat perkauman. Tetapi jelas, dia menyasarkan semua kekecewaannya hanya pada orang warna kulitnya berbeza,” katanya.

Jurucakap Qantas berkata, syarikat penerbangan Australia itu menolak sepenuhnya tuduhan bahawa perkauman adalah faktor kejadian berkenaan.

“Wujud salah faham dalam penerbangan, jika dilihat diburukkan lagi apabila will.i.am memakai fon kepala kalis bunyi dan tidak mendengar arahan kru,” katanya.

Kumpulan itu mengakhiri jelajah lima bandar Australia dengan konsert yang berlangsung di Sydney, Sabtu lalu.

Disiarkan pada: November 18, 2019 @ 10:39am
d