global

Idam buka zoo selepas perang [METROTV]

Oleh Xinhuanews

DAMSYIK: Hidup dalam keadaan dicengkam peperangan tidak pernah memadam impian seorang pencinta haiwan untuk memiliki sebuah zoo di Syria.

Minat Samer al-Homsi, 43, terhadap haiwan dikatakan bermula sejak kecil apabila dia pernah mempunyai seekor kucing sebelum minat itu berkembang dengan memelihara hidupan liar, lapor Xinhua.

Dia yang diberi kebenaran sah untuk membuka zoo kemudiannya memilih sebuah kawasan berhampiran lapangan terbang untuk menempatkan pelbagai spesies haiwan.

Bagaimanapun, sebahagian besar haiwan yang dipelihara itu mati ketika perang apabila kumpulan pemberontak menyerang kawasan terbabit.

“Sebelum perang, saya mempunyai tanah berhampiran lapangan terbang yang menjadi tempat melatih beberapa haiwan termasuk zirafah dan cheetah. Namun, kumpulan pemberontak membunuh semua haiwan itu ketika tercetusnya perang,” katanya.

Biarpun pernah melihat haiwan kesayangannya disembelih di depan mata namun semangatnya tidak luntur dan kini meneruskan minat itu di kawasan kecil milik keluarganya di Jaramana.

Sebanyak 35 jenis haiwan termasuk harimau, singa, beruang, seladang, anjing, biri-biri serta burung pemangsa yang jarang ditemui ditempatkan di kawasan persendirian itu.

“Impian saya untuk memiliki sebuah zoo terbaik di Syria tidak pernah padam dan saya ingin memastikan ia tercapai dengan membantu membangunkan semula Zoo Adawi yang terjejas akibat perang,” katanya.

Disiarkan pada: November 18, 2019 @ 10:20pm
d