global

Tolak mayat Rabbial

Oleh Agensi

JAKARTA: Penduduk Medan enggan membenarkan mayat lelaki yang meletupkan dirinya di depan ibu pejabat polis Medan minggu lalu, Rabbial Muslim Nasution, dikebumikan di daerah berkenaan.

Menurut laporan media Indonesia, Rabbial tinggal di Kampung Sei Putih Barat, daerah Medan Petisah.

CNN Indonesia melaporkan, seorang tokoh agama, M Sofyan, yang mendakwa mewakili masyarakat, menolak mayat Rabbial dikebumikan di Kota Medan.

Sebelum ini, dilaporkan mayat lelaki itu akan dikebumikan di perkuburan awam Sei Sikambing, Medan, namun mayatnya masih belum dibawa ke sana.

Detik News melaporkan, ketua masyarakat Sei Sikambing, Darmawan Ginting berkata, penduduk di perkampungan itu tidak keberatan membenarkan mayat Rabbial dikebumikan di situ.

“Sesama Islam, kita wajib menunaikan fardu kifayah,” katanya.

Dalam kejadian Rabu lalu, Rabbial, 24, meletupkan dirinya di depan ibu pejabat polis Medan menyebabkan tubuhnya berkecai dan mencederakan enam lagi.

Semalam, AFP melaporkan pihak berkuasa negara itu menahan 45 orang di seluruh Sumatera selepas pengeboman itu. Sabtu lalu, polis juga menembak mati dua pembuat bom yang melawan ketika hendak ditahan.

“Dua lelaki itu cuba menyerang polis dengan senjata tajam dan pistol angin,” kata jurucakap polis, Dedi Prasetyo, di Jakarta, semalam.

Menurutnya, dua lelaki itu membuat bom yang digunakan Rabbial.

Dedi berkata, pengebom itu bersama 22 lagi suspek yang ditahan serta dua pembuat bom itu ada kaitan dengan Jamaah Ansharut Daulah (JAD) yang menyokong Daish.

“Sasaran mereka adalah polis,” katanya.

JAD yang diharamkan di Indonesia, terbabit dalam beberapa serangan bom sejak beberapa tahun lalu.

Disiarkan pada: November 19, 2019 @ 12:30pm
d